Lukas 15:11-31

Lukas 15:11-31 AVB

Yesus berkata seterusnya: “Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu. Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.’ Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’ Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria. Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’ Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’ Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’ Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.