Seorang daripada orang ramai itu berkata, “Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.”
Yesus menjawab, “Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?” Yesus terus menambah, “Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.”
Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: “Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak. Dia berfikir dalam hatinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.’ Dia berkata, ‘Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala gandum dan harta bendaku. Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.’ Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Engkau bodoh! Pada malam ini juga, jiwamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?’ ”
“Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.”
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu! Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? Jika kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain? Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu!
Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing. Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.”
“Janganlah takut, hai kawanan kecil, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu. Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.