Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Yesus kerana kata-kata-Nya, “Akulah roti yang turun dari syurga.” Mereka berkata, “Bukankah Dia Yesus, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, ‘Aku turun dari syurga’?”
Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah merungut sesama sendiri. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. Ada tersurat dalam tulisan para nabi: ‘Semua manusia akan diajar oleh Allah.’ Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku. Tiada seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. Akulah roti hidup. Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.”
Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, “Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?”
Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.”
Demikianlah kata-kata Yesus ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
Antara murid yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?”
Yesus tahu tanpa diberitahu akan rungutan murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya? Bagaimana nanti kalau kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Hanya Roh Kudus memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup. Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Yesus mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) Yesus berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.”
Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya. Oleh yang demikian, Yesus bertanya kepada murid-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?”
Simon Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal. Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.”
Yesus berkata, “Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu ialah iblis?” Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang murid Yesus yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.