Yohanes 4:1-26

Yohanes 4:1-26 AVB

Ketika Yesus mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan membaptis lebih ramai murid berbanding dengan Yohanes, (sebenarnya para murid Yesus yang membaptis, bukan Yesus), Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula. Dalam perjalanan-Nya itu, Yesus semestinya melalui Samaria. Di Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam. Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Perempuan Samaria itu menjawab, “Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?” (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.) Yesus menjawab, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.” Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.” Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.” Perempuan itu berkata, “Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.” Yesus menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.” Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.” Yesus pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.” Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.” Yesus berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.” Yesus berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yohanes 4:1-26