Hakim-Hakim 1:5-30

Hakim-Hakim 1:5-30 AVB

Mereka menemui Adoni-Bezek di Bezek lalu mereka memeranginya dan berjaya menewaskan bani Kanaan dan bani Feris. Adoni-Bezek yang melarikan diri dikejar dan sesudah ditangkap, ibu jari tangan dan kakinya dipotong oleh mereka. Berkatalah Adoni-Bezek, “Dahulunya tujuh puluh orang raja yang kudung ibu jari tangan dan ibu jari kaki mereka memungut sisa makanan di bawah mejaku. Allah telah membalas kepadaku sebagaimana yang kulakukan dahulu.” Dia dibawa ke Yerusalem dan di sanalah dia mati. Seterusnya bani Yehuda berperang melawan Yerusalem dan berjaya menawan kota itu dan selanjutnya menggempurnya dengan pedang serta membakarnya. Setelah itu, bani Yehuda menyerang bani Kanaan yang menghuni daerah pergunungan, dan di bumi Negeb dan juga mereka yang mendiami kawasan tanah rendah. Lalu puak Yehuda menyerang bani Kanaan yang mendiami Hebron (yang dahulunya bernama Kiryat-Arba) dan menggempur Sesai, Ahiman dan Talmai. Dari sana mereka mara lalu menyerang penduduk Debir. Nama Debir sebelumnya ialah Kiryat-Sefer. Berkatalah Kaleb, “Sesiapa yang menumpaskan dan menawan Kiryat-Sefer, kepadanya akan kuberikan anak perempuanku, Akhsa, sebagai isterinya.” Otniel, anak Kenas, adik Kaleb, menawan kota itu. Maka Kaleb memberikan anak perempuannya, Akhsa, kepada Otniel untuk menjadi isterinya. Pada waktu perempuan itu datang kepada Otniel, dia memujuk suaminya untuk meminta sepetak ladang daripada ayahnya. Ketika perempuan itu turun dari keldainya, Kaleb bertanya kepadanya, “Apakah yang kauinginkan?” Jawabnya, “Berilah aku berkat. Ayah telah menempatkan aku di Tanah Negeb. Oleh itu, berilah aku juga beberapa mata air.” Maka Kaleb pun memberinya mata-mata air di sebelah hulu dan hilir. Maka bani Keni, iaitu keturunan ayah mertua Musa, keluar bersama-sama bani Yehuda meninggalkan kota pokok kurma menuju ke Gurun Yehuda di Tanah Negeb berdekatan dengan Arad, lalu mereka bermastautin dengan penduduk di situ. Seterusnya Yehuda bersama-sama saudaranya, Simeon, menyerang bani Kanaan di Zefat. Kota itu dimusnahkan dan diberikan nama baru, iaitu Horma. Bani Yehuda juga merebut tiga lagi buah kota, iaitu Gaza, Askelon dan Ekron, masing-masing dengan seluruh daerahnya sekali. TUHAN menyertai bani Yehuda sehingga mereka turut memiliki wilayah pergunungan, namun mereka gagal mengusir penduduk di kawasan lembah yang mempunyai rata besi. Mereka memberikan Hebron kepada Kaleb sebagaimana yang dijanjikan Musa dahulu, lalu Kaleb mengusir tiga orang anak Enak dari situ. Bani Benyamin juga tidak mengusir bani Yebus yang mendiami Yerusalem malah sampai sekarang bani Yebus masih mendiami Yerusalem bersama-sama bani Benyamin. Demikian jugalah bani Yusuf menyerang Betel, dan TUHAN menyertai mereka. Bani Yusuf mengintip kota Betel (yang dahulunya bernama Lus). Berkatalah para pengintip kepada seorang lelaki yang keluar dari kota itu, “Tolong tunjukkan kepada kami jalan masuk ke kota ini, dan kami akan melayan kamu dengan baik.” Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka lalu mereka menyerang kota itu dan hanya melepaskan orang itu berserta seisi keluarganya. Orang itu pergi ke negeri bani Het lalu mendirikan sebuah kota yang dinamakannya Lus di sana. Nama itu kekal sampai sekarang. Bani Manasye tidak menawan Bet-Sean ataupun mengusir semua penduduknya. Demikianlah juga di kota-kota Taanakh, Dor, Yibleam dan Megido yang ditawan namun para warganya tidak diusir kerana bani Kanaan berkeras untuk terus menetap di bumi itu. Setelah orang Israel menjadi kuat, mereka menjadikan bani Kanaan buruh paksa, namun bani Kanaan tidak dinyahkan dari bumi itu. Bani Efraim pun tidak menghalau bani Kanaan yang mendiami Gezer dan bani Kanaan terus tinggal di situ bersama-sama mereka. Bani Zebulon juga tidak mengusir penduduk Kitron dan Nahalol, tetapi seluruh bani Kanaan dibenarkan terus menetap di tengah-tengah mereka dan dijadikan buruh paksa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami