Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, “Godaan ini datang daripada Allah.” Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian. Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya. Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya. Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu. Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu. Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. Namun demikian, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.
Baca Yakobus 1
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Yakobus 1:12-25
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video