Yesaya 7:1-9

Yesaya 7:1-9 AVB

Pada zaman Ahas anak Yotam anak Uzia, raja Yehuda, majulah Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya, raja Israel, ke Yerusalem untuk memerangi kota itu. Namun begitu, mereka tidak dapat mengalahkannya. Apabila diberitahukan kepada keturunan kaum Daud, “Orang Aram bersekutu dengan orang Efraim,” maka gementarlah hati raja dan hati rakyatnya, seperti pokok di hutan yang digoyangkan angin. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Keluarlah engkau bersama-sama anakmu Syear Yasyub dan temuilah Ahas di hujung saluran kolam atas, di jalan raya yang menuju Padang Para Dobi. Katakanlah kepadanya, ‘Mantapkanlah hatimu dan tenanglah. Jangan takut dan jangan tawar hati kerana dua puntung kayu bakar yang berasap ini, iaitu panasnya amarah Rezin bersama orang Aram, dan anak Remalya. Orang Aram bersama orang Efraim dan anak Remalya memang telah merancangkan kejahatan terhadap engkau. Mereka berkata, “Mari kita maju menyerang Yehuda, membuatnya ketakutan, dan menaklukkannya bagi kita, lalu kita mengangkat anak Tabeel sebagai raja di tengah-tengahnya.” ’ Akan tetapi, beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Hal itu tidak akan terlaksana dan tidak akan terjadi, kerana kepala Aram ialah Damsyik, dan kepala Damsyik ialah Rezin. Dalam enam puluh lima tahun, Efraim akan terpecah belah sehingga tidak lagi menjadi satu bangsa. Kepala Efraim ialah Samaria, dan kepala Samaria ialah anak Remalya. Jika kamu tidak percaya, maka tentu kamu tidak akan kekal teguh.’ ”