Kejadian 8:13-22

Kejadian 8:13-22 AVB

Pada tahun 601, pada hari pertama dalam bulan pertama, air surut sepenuhnya dari permukaan bumi. Ketika Nuh membuka atap bahtera itu, kelihatan betapa permukaan tanah sudah kering. Seterusnya pada hari kedua puluh tujuh pada bulan kedua, bumi memang sudah benar-benar kering. Berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya. Seterusnya keluar pula dari bahtera itu menurut jenisnya segala haiwan liar, segala binatang melata, segala burung, iaitu semua yang bergerak di bumi. Lalu Nuh mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN. Maka dia mengambil beberapa ekor daripada setiap binatang yang halal dan daripada setiap jenis burung yang halal, lalu dipersembahkannya korban bakaran di atas mazbah itu. TUHAN menghidu persembahan yang harum itu. Maka berfirmanlah TUHAN dalam hati-Nya, “Aku tidak akan melaknati bumi ini lagi atas sebab kemungkaran manusia. Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia, Aku tidak akan lagi membinasakan segala yang hidup seperti yang telah Kulakukan. Selama bumi masih wujud, tidak akan putus bertali arusnya musim menabur dan musim menuai, sejuk dan panas, musim kemarau dan musim hujan, serta siang dan malam.”