Kejadian 45:1-15

Kejadian 45:1-15 AVB

Ketika Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi di hadapan semua orang yang berdiri dekatnya, dia pun berseru, “Arah semua orang keluar meninggalkan aku!” Maka tiada seorang pun ada bersama-samanya ketika dia memperkenalkan dirinya yang sebenarnya kepada para saudaranya. Lalu dia menangis dengan suara yang kuat, sehingga terdengar oleh orang Mesir serta seisi istana Firaun. Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?” Tetapi para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya. Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Datanglah lebih dekat kepadaku.” Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, “Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir. Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara. Selama dua tahun ini bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada lima tahun lagi tempoh orang tidak akan membajak atau menuai. Maka Allah mengirimku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar. Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan yang dipertuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir. Segeralah kembali kepada ayah dan katakan kepadanya, ‘Beginilah kata anakmu Yusuf, “Allah telah mengangkat aku untuk menjadi tuan atas seluruh Mesir. Datanglah kepadaku, jangan berlengah lagi! Ayah akan tinggal di Tanah Gosyen, dekat dengan aku — ayah, anak-anak dan cucu-cucu ayah, segala kawanan ternakan ayah, serta segala harta benda ayah. Aku akan mengadakan segala keperluan ayah di sana, kerana tempoh berlakunya kebuluran ini masih ada lima tahun lagi. Jangan sampai kemiskinan dan ketandusan menimpa ayah dan seluruh keluarga ayah serta segala harta benda ayah.” ’ Sesungguhnya, matamu sendiri dan mata Benyamin, adikku, melihat sendiri bahawa mulut akulah yang mengatakan hal ini kepadamu. Oleh sebab itu beritahulah ayah tentang segala kemuliaanku di Mesir dan segala sesuatu yang telah kamu lihat, dan bersegeralah membawa ayah ke mari.” Kemudian Yusuf memeluk leher Benyamin, adiknya, dan menangis. Benyamin pun menangis di bahu dan lehernya. Yusuf mencium kesemua saudaranya dan menangis dalam pelukan mereka. Setelah itu, barulah para saudaranya bercakap dengannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami