Kejadian 41:38-50

Kejadian 41:38-50 AVB

Lalu kata Firaun kepada para pegawainya, “Bolehkah kita mencari orang seperti itu, yang dipenuhi kehadiran roh Allah?” Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Kerana Allah telah menyatakan kepadamu semua hal ini, tentunya tidak ada orang yang sedemikian arif dan bijaksana seperti kamu. Kamu akan mengetuai istanaku, dan seluruh rakyatku harus tunduk kepada pentadbiranmu. Hanya takhta ini yang membuat aku lebih besar daripada kamu.” Kata Firaun lagi kepada Yusuf, “Dengan ini aku mengangkat kamu untuk mentadbir seluruh Tanah Mesir.” Kemudian Firaun mencabut cincin daripada jari tangannya dan memakaikannya di jari Yusuf. Dipakaikannya pula pakaian daripada kain linen yang halus pada Yusuf, serta dikalungkannya kalung emas di lehernya. Dia memerintahkan orang untuk menaikkan Yusuf atas ratanya yang kedua, dan di hadapan Yusuf orang berseru, “Berlutut!” Demikianlah Yusuf diberi kuasa pentadbiran atas seluruh Tanah Mesir. Firaun berkata kepada Yusuf, “Akulah Firaun, tetapi tanpa keizinanmu tiada seorang pun boleh melakukan sesuatu di seluruh Tanah Mesir.” Firaun mengurniakan gelaran Zafnat-Paaneah kepada Yusuf, serta memberikan kepadanya Asnat, anak gadis Potifera, imam di On, untuk menjadi isterinya. Maka berkuasalah Yusuf atas seluruh Tanah Mesir. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia menghadap Firaun, raja Mesir. Kemudian Yusuf pergi dari hadapan Firaun dan menjelajah ke seluruh Tanah Mesir. Selama tujuh tahun kelimpahan itu, negeri itu mendapat hasil tuaian yang melimpah-ruah. Yusuf mengumpulkan semua bahan makanan berlebihan dalam tempoh tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu dan menimbunnya di kota-kota. Di setiap kota ditimbunnya bahan makanan, hasil daripada ladang-ladang di sekeliling kota itu. Demikianlah Yusuf menyimpan gandum sangat banyak sekali, sebanyak pasir di laut, hingga dia berhenti menghitungnya kerana memang tidak terhitung lagi. Sebelum munculnya tahun bencana kebuluran itu Yusuf dikurniai dua orang anak yang dilahirkan oleh Asnat, anak Potifera, imam di On itu.