Kejadian 40:1-15

Kejadian 40:1-15 AVB

Tidak lama sesudah peristiwa-peristiwa itu, jururasa santapan dan pembuat roti raja Mesir melakukan kesalahan terhadap tuan mereka, raja Mesir. Maka murkalah Firaun kepada kedua-dua orang pegawai istananya itu, iaitu kepada ketua jururasa santapan serta ketua pembuat rotinya. Dia menempatkan mereka dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja, iaitu ke dalam penjara tempat Yusuf ditahan. Lalu kepala pengawal diraja menyuruh Yusuf untuk menjadi pengiring mereka dan Yusuf pun melayani mereka. Mereka berada dalam tahanan selama beberapa waktu. Maka terjadilah pada malam yang sama, jururasa santapan serta pembuat roti raja Mesir yang ditahan di dalam penjara itu bermimpi. Mimpi mereka masing-masing memiliki erti yang berbeza. Pada pagi harinya, ketika Yusuf datang menemui mereka dan memperhatikan mereka, tampak mereka sedang bersusah hati. Maka bertanyalah Yusuf kepada para pegawai istana Firaun yang bersama-sama ditahan dengannya dalam penjara di rumah tuannya itu, “Mengapakah wajah kamu muram hari ini?” Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.” Lalu ketua jururasa santapan menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku. Pokok anggur itu bercabang tiga. Begitu pokok itu bertunas, bunganya langsung tumbuh dan tandan-tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang masak. Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.” Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsir bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam masa tiga hari ini, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan pangkatmu yang dahulu kepada kamu. Lalu kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi jururasa santapannya. Tetapi ingatlah aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini, kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu pun yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan.”