Kejadian 4:1-14

Kejadian 4:1-14 AVB

Maka Adam meniduri isterinya, Hawa, yang seterusnya mengandung dan melahirkan Kain. Hawa berkata, “Atas pertolongan TUHAN, aku memperoleh seorang anak lelaki.” Sesudah itu, dia melahirkan Habel pula, adik lelaki kepada Kain. Habel menggembala haiwan ternakan manakala Kain bertani. Pada waktu yang ditetapkan, Kain membawa sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN. Habel pun mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling mondok daripadanya. TUHAN berkenan kepada Habel dan persembahannya, tetapi Dia tidak berkenan kepada Kain dan persembahannya. Naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya. Berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Mengapakah kamu marah, dan mengapakah mukamu masam? Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan bagus? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti ketika untuk berleluasa, namun kamu perlu menguasainya.” Namun demikian, Kain berkata kepada Habel, adiknya, “Mari kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kain menyerang Habel, adiknya, lalu membunuhnya. Maka berfirmanlah TUHAN kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu itu?” Jawabnya, “Aku tidak tahu! Adakah aku ini penjaga adikku?” Firman-Nya, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku! Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang telah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu. Apabila engkau mengerjakan tanah itu, maka tanah itu tidak akan lagi memberikan hasil sepenuhnya kepadamu. Engkau akan menjadi seorang pengembara dan pelarian di bumi.” Kata Kain kepada TUHAN, “Hukumanku itu terlalu berat dan tidak tertanggung olehku. Sesungguhnya, pada hari ini Engkau mengusir aku dari tanah ini maka aku perlu bersembunyi daripada hadirat-Mu dan akan menjadi seorang pengembara serta pelarian di bumi. Kelak sesiapa yang bertemu denganku akan membunuhku.”