Kejadian 39:11-22

Kejadian 39:11-22 AVB

Pada suatu hari, Yusuf masuk ke dalam rumah untuk menjalankan tugasnya. Tiada seorang pun ada di dalam rumah pada saat itu. Lalu perempuan itu memegang jubah Yusuf sambil berkata, “Mari, tidurlah dengan aku!” Tetapi Yusuf meninggalkan jubahnya di tangan perempuan itu lalu lari keluar. Apabila perempuan itu melihat bahawa Yusuf lari keluar dengan meninggalkan jubahnya di dalam tangannya, dia pun memanggil seisi rumahnya. Katanya kepada mereka, “Lihat, suamiku membawa kepada kita seorang Ibrani untuk mempermainkan kita! Dia masuk untuk tidur dengan aku, tetapi aku berteriak dengan suara nyaring. Apabila dia mendengar aku berteriak dengan kuat, dia meninggalkan jubahnya denganku lalu lari keluar.” Lalu perempuan itu menyimpan jubah Yusuf di sisinya sehingga tuannya pulang ke rumah. Lalu perempuan itu berkata demikian kepada Potifar, katanya, “Hamba Ibrani yang kaubawa untuk kita itu datang kepadaku untuk mempermainkan aku. Tetapi ketika aku berteriak dengan suara nyaring, dia meninggalkan jubahnya padaku lalu dia lari keluar.” Setelah Potifar mendengar kata-kata yang disampaikan isterinya kepadanya, “Begitulah hambamu memperlakukan aku,” dia menjadi amat marah sekali. Lalu dia membawa Yusuf lalu dimasukkannya ke dalam penjara, tempat para tahanan raja ditahan. Maka terpenjaralah Yusuf di situ. Akan tetapi, TUHAN menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih-Nya kepadanya lalu Dia membuat kepala penjara itu berkenan kepada Yusuf. Lalu ketua penjara itu menyerahkan semua tahanan di dalam penjara itu kepada pengawasan Yusuf. Segala sesuatu yang harus dikerjakan di situ, Yusuflah yang mengerjakannya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kejadian 39:11-22