Kejadian 3:8-19

Kejadian 3:8-19 AVB

Terdengar kepada mereka suara TUHAN Allah yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat TUHAN Allah di antara pokok di dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?” Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman lalu aku menjadi takut kerana aku dalam keadaan telanjang. Jadi aku pun bersembunyi.” Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?” Jawab manusia itu, “Perempuan yang Kautempatkan bersama-samaku itulah yang memberikan kepadaku buah daripada pokok itu, maka aku memakan buah itu.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Apa yang telah kamu lakukan?” Jawab perempuan itu, “Ular itu menipu aku sehingga aku memakan buah itu.” Maka berfirmanlah TUHAN Allah kepada ular itu, “Atas sebab perbuatan engkau itu, terkutuklah engkau melebihi segala haiwan ternakan dan binatang liar. Engkau akan menjalar dengan perutmu dan engkau akan makan debu tanah seumur hidupmu. Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dengan perempuan ini, dan antara keturunanmu dengan keturunannya. Keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan kamu akan meremukkan tumitnya.” Firman-Nya kepada perempuan itu, “Aku akan melipatgandakan kesakitan dan kesusahanmu semasa engkau melahirkan anak. Namun begitu, kamu tetap akan mengingini suamimu, dan dia akan berkuasa ke atasmu.” Firman-Nya kepada Adam, “Kerana engkau menurut kata isterimu lalu memakan buah daripada pokok yang telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Jangan engkau makan buahnya,’ maka terkutuklah tanah kerana kau. Engkau akan bersusah payah mengerjakan tanah dan memakan hasilnya, seumur hidupmu. Tanah akan menumbuhkan duri dan onak untukmu, dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu. Hasil keringatmu itulah engkau kelak mendapatkan rezekimu sehingga kembalinya engkau menjadi tanah, kerana dari tanahlah engkau diambil. Oleh sebab asalmu debu, maka engkau kelak kembali menjadi debu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kejadian 3:8-19

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami