Kejadian 3:1-10

Kejadian 3:1-10 AVB

Ular memang lebih licik daripada mana-mana haiwan liar lain yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu berkata kepada perempuan itu, “Adakah Allah benar-benar berfirman, ‘Jangan kamu makan buah daripada mana-mana pun pokok di dalam taman ini’?” Perempuan itu berkata kepada ular itu, “Kami boleh memakan buah daripada pokok-pokok di dalam taman ini, tetapi dalam hal buah daripada pokok yang berada di tengah-tengah taman ini, Allah berfirman, ‘Janganlah kamu makan buah itu malah jangan kamu menyentuhnya, supaya jangan kamu mati.’ ” Berkatalah ular kepada perempuan itu, “Kamu pasti tidak akan mati. Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terbukalah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat.” Apabila perempuan itu melihat bahawa buah pokok itu bagus sebagai makanan dan nampak sedap, apatah lagi buah itu mampu membuat seseorang menjadi bijaksana, dia pun mengambilnya lalu memakannya. Dia juga memberikan buah itu kepada suaminya yang bersama-samanya, dan suaminya juga memakannya. Maka terbukalah mata kedua-duanya dan sedarlah mereka bahawa mereka bertelanjang lantas mereka membuat cawat penutup aurat daripada dedaun pokok ara. Terdengar kepada mereka suara TUHAN Allah yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat TUHAN Allah di antara pokok di dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?” Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman lalu aku menjadi takut kerana aku dalam keadaan telanjang. Jadi aku pun bersembunyi.”