Kejadian 29:16-35

Kejadian 29:16-35 AVB

Laban mempunyai dua orang anak perempuan, yang lebih tua bernama Lea manakala yang muda bernama Rahel. Lea bermata kuyu, tetapi Rahel elok perawakannya dan cantik parasnya. Yakub jatuh cinta kepada Rahel lalu dia berkata, “Aku akan bekerja dengan pak cik selama tujuh tahun lama demi mendapatkan Rahel, anak pak cik yang lebih muda itu.” Jawab Laban, “Lebih baik kuberikan dia kepadamu daripada memberikannya kepada orang lain. Tinggallah bersama-samaku.” Maka bekerjalah Yakub selama tujuh tahun demi Rahel. Namun begitu, kepadanya tujuh tahun itu bagaikan beberapa hari sahaja kerana cintanya kepada Rahel. Kemudian berkatalah Yakub kepada Laban, “Berikanlah bakal isteriku kerana waktuku sudah tiba. Aku mahu menikahinya.” Maka Laban mengundang semua orang di tempat itu dan mengadakan kenduri. Akan tetapi, pada malam hari dia mengambil Lea, anaknya, dan membawanya kepada Yakub lalu Yakub menidurinya. Laban juga memberikan seorang hamba perempuannya bernama Zilpa kepada Lea, anaknya itu, untuk menjadi hambanya. Pada pagi harinya, ternyatalah kepada Yakub bahawa perempuan itu Lea! Lalu berkatalah Yakub kepada Laban, “Apakah yang pak cik lakukan terhadap aku ini? Bukankah aku bekerja dengan pak cik demi mendapatkan Rahel? Mengapakah pak cik menipuku?” Jawab Laban, “Di tempat kami ini tiada orang yang memberikan anak yang lebih muda mendahului anak sulungnya. Genapkan dahulu tujuh hari pernikahanmu dengan anakku ini, kemudian anakku yang muda itu akan kuberikan juga kepadamu dengan syarat kamu bekerja denganku selama tujuh tahun lagi.” Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan pula Rahel, anaknya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan, bernama Bilha untuk menjadi hambanya. Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun. TUHAN melihat betapa Lea tidak dicintai. Maka Dia membuka rahim Lea, tetapi Rahel mandul. Lea pun mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Ruben kerana katanya, “Sesungguhnya, TUHAN melihat akan kesusahanku dan pastinya kini aku akan dicintai oleh suamiku.” Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN mendengar bahawa aku tidak dicintai, maka dikurniakan-Nya pula anak ini kepadaku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Simeon Selanjutnya dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini suamiku akan bertambah erat lagi denganku kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Lewi. Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak. Katanya, “Kali ini aku hendak memuji TUHAN.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Yehuda. Setelah itu, dia tidak melahirkan anak lagi.