Maka berkatalah Laban kepada Yakub, “Patutkah kamu bekerja denganku secara percuma hanya kerana kamu saudaraku? Katakanlah kepadaku apakah upah yang patut bagimu?” Laban mempunyai dua orang anak perempuan, yang lebih tua bernama Lea manakala yang muda bernama Rahel. Lea bermata kuyu, tetapi Rahel elok perawakannya dan cantik parasnya. Yakub jatuh cinta kepada Rahel lalu dia berkata, “Aku akan bekerja dengan pak cik selama tujuh tahun lama demi mendapatkan Rahel, anak pak cik yang lebih muda itu.” Jawab Laban, “Lebih baik kuberikan dia kepadamu daripada memberikannya kepada orang lain. Tinggallah bersama-samaku.” Maka bekerjalah Yakub selama tujuh tahun demi Rahel. Namun begitu, kepadanya tujuh tahun itu bagaikan beberapa hari sahaja kerana cintanya kepada Rahel. Kemudian berkatalah Yakub kepada Laban, “Berikanlah bakal isteriku kerana waktuku sudah tiba. Aku mahu menikahinya.” Maka Laban mengundang semua orang di tempat itu dan mengadakan kenduri. Akan tetapi, pada malam hari dia mengambil Lea, anaknya, dan membawanya kepada Yakub lalu Yakub menidurinya. Laban juga memberikan seorang hamba perempuannya bernama Zilpa kepada Lea, anaknya itu, untuk menjadi hambanya. Pada pagi harinya, ternyatalah kepada Yakub bahawa perempuan itu Lea! Lalu berkatalah Yakub kepada Laban, “Apakah yang pak cik lakukan terhadap aku ini? Bukankah aku bekerja dengan pak cik demi mendapatkan Rahel? Mengapakah pak cik menipuku?” Jawab Laban, “Di tempat kami ini tiada orang yang memberikan anak yang lebih muda mendahului anak sulungnya. Genapkan dahulu tujuh hari pernikahanmu dengan anakku ini, kemudian anakku yang muda itu akan kuberikan juga kepadamu dengan syarat kamu bekerja denganku selama tujuh tahun lagi.” Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan pula Rahel, anaknya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan, bernama Bilha untuk menjadi hambanya. Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun.
Baca Kejadian 29
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Kejadian 29:15-30
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video