Maka berangkatlah Yakub meneruskan perjalanannya ke negeri orang di sebelah timur. Dia meninjau keadaan sekeliling dan terlihat ada sebuah perigi di padang dengan tiga kawanan domba yang berbaring di sisi perigi itu. Dari perigi itulah orang memberikan minum kepada kawanan ternakan mereka. Ada sebuah batu besar yang menutupi mulut perigi itu. Apabila seluruh kawanan ternakan siap terkumpul di sana, barulah para gembala akan menggolekkan batu itu daripada mulut perigi lalu memberikan minum kepada kawanan domba mereka. Setelah selesai kerja itu, batu berkenaan dialihkan semula ke tempatnya di mulut perigi itu.
Yakub bertanya kepada warga di situ, “Saudara-saudaraku, dari manakah kamu ini?”
Jawab mereka, “Kami ini dari Haran.”
Tanya Yakub pula kepada mereka, “Adakah kamu mengenali Laban, cucu Nahor?”
Jawab mereka, “Kenal.”
Tanyanya kepada mereka, “Apa khabar dia?” Jawab mereka, “Baik! Lihat, itu Rahel, anak perempuannya, datang dengan kawanan dombanya!”
Kata Yakub, “Hari masih siang, belum waktunya ternak dikumpulkan. Jadi, berilah kawanan kambing dombamu minum lalu gembalakanlah lagi.”
“Tidak boleh,” jawab mereka. “Sesudah seluruh kawanan ternak dikumpulkan dan batu digulingkan daripada mulut perigi, barulah kami boleh memberikan minum kepada kawanan domba kami.”
Sewaktu Yakub sedang bercakap dengan mereka itu, Rahel tiba bersama-sama kawanan domba ayahnya yang digembalainya. Maka Yakub yang melihat ketibaan Rahel, anak perempuan Laban berserta kawanan domba Laban pun pergi menggolekkan batu daripada mulut perigi itu lalu diberinya minum kepada kawanan domba Laban, saudara ibunya itu. Lalu Yakub mencium Rahel dan menangis dengan suara nyaring. Yakub memberitahu Rahel bahawa dia anak Ribka, saudara kepada ayah Rahel.
Maka berlarilah Rahel memberitahu hal itu kepada ayahnya. Lalu setelah Laban mendengar khabar tentang Yakub, anak saudaranya, berlarilah dia menyambutnya. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawanya masuk ke rumahnya. Kemudian Yakub menceritakan segala hal ehwalnya kepada Laban. Kata Laban kepadanya, “Sesungguhnya, kamu memang darah dagingku.” Maka tinggallah Yakub bersama-samanya selama sebulan penuh.