Kejadian 24:12-27

Kejadian 24:12-27 AVB

Lalu katanya, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku.” Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel — Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja.” Jawabnya, “Minumlah, tuanku.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada TUHAN membuat perjalanannya berhasil atau tidak. Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal serta sepasang gelang tangan dari emas seberat sepuluh syikal. Lalu dia bertanya, “Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?” Jawab gadis itu kepadanya, “Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor.” Kata gadis itu pula kepadanya, “Jerami ataupun makanan ternak ada berlimpah-limpah pada kami. Tempat bermalam pun ada.” Maka sujudlah orang itu menyembah TUHAN. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku Abraham. Tidak putus-putusnya kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi tuanku. TUHAN telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.”