Kejadian 2:4-17

Kejadian 2:4-17 AVB

Demikianlah riwayat langit dan bumi ketika diciptakan. Pada masa TUHAN Allah menjadikan bumi dan langit belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana TUHAN Allah, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu, tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi. Ketika itulah TUHAN Allah membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup. Selanjutnya TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu. Lalu dari bumi itu TUHAN Allah menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat. Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai. Sungai yang pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas. Emas di situ bermutu baik dan ada juga batu permata damar dan oniks. Sungai yang kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush. Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat. TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. Lalu TUHAN Allah memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini; tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kejadian 2:4-17