Kejadian 18:16-33

Kejadian 18:16-33 AVB

Kemudian orang itu berangkat dari sana dan memandang ke arah Sodom. Abraham berjalan menyertai mereka untuk menghantarkan mereka. TUHAN berfirman, “Akankah Kusembunyikan daripada Abraham apa yang hendak Kulakukan ini, sedangkan Abraham akan menjadi bangsa yang besar dan kuat, dan melaluinya semua bangsa di bumi akan diberkati? Aku telah memilih dia agar dia memerintahkan anak-anak serta kaum keluarganya untuk memelihara jalan TUHAN dengan melakukan yang benar dan adil. Dengan demikian, TUHAN memenuhi apa yang telah dijanjikan-Nya kepada Abraham.” Selanjutnya TUHAN berfirman, “Hebat sekali jeritan terhadap Sodom dan Gomora dan dosa mereka teramat berat. Aku akan hadir untuk mengamati sama ada perbuatan mereka memang selaras dengan bangkangan yang diteriakkan kepada-Ku atau tidak. Aku mahu menyelidikinya.” Maka dua orang itu beranjak dari sana dan berjalan ke arah Sodom, tetapi Abraham masih tetap berdiri di hadapan TUHAN. Lalu Abraham mendekat-Nya dan berkata, “Masakan Engkau melenyapkan orang benar bersama-sama orang fasiq? Kalau ada lima puluh orang benar dalam kota itu, akankah Engkau tetap lenyapkan tempat itu? Tidakkah Engkau mahu pelihara tempat itu kerana lima puluh orang benar yang ada di dalamnya? Engkau sekali-kali tidak akan melakukan hal itu, membunuh orang benar bersama-sama orang fasiq, sehingga orang benar itu disamakan dengan orang fasiq. Engkau sekali-kali tidak akan melakukan sedemikian! Bukankah Hakim semesta bumi akan berlaku adil?” Firman TUHAN, “Jika Kudapati lima puluh orang benar di Kota Sodom, maka akan Kupelihara seluruh tempat itu kerana mereka.” Kata Abraham pula, “Sesungguhnya, aku memberanikan diri berbicara kepada Tuhan, sekalipun aku hanyalah debu dan abu. Kalau kurang lima sahaja daripada lima puluh orang benar itu, akankah Engkau tetap musnahkan seluruh kota itu hanya kerana lima orang itu?” Firman-Nya, “Jika Kudapati di sana empat puluh lima orang, Aku tidak akan memusnahkannya.” Abraham berkata lagi kepada-Nya, “Kalau didapati empat puluh orang di sana?” Firman-Nya, “Kerana empat puluh orang itu Aku tidak akan melakukannya.” Kata Abraham, “Janganlah kiranya TUHAN murka jika aku berbicara lagi. Kalau didapati di sana tiga puluh orang?” Firman-Nya, “Jika Kudapati di sana tiga puluh orang Aku tidak akan melakukan hal itu.” Kata Abraham, “Sesungguhnya, aku memberanikan diri berbicara kepada TUHAN. Kalau didapati di sana dua puluh orang?” Firman-Nya, “Kerana dua puluh orang itu Aku tidak akan memusnahkannya.” Kata Abraham, “Semoga TUHAN tidak murka jika aku berbicara sekali ini sahaja lagi. Kalau didapati di sana sepuluh orang?” Firman-Nya, “Kerana kesepuluh orang itu Aku tidak akan memusnahkannya.” Setelah selesai berfirman kepada Abraham, TUHAN meninggalkan tempat itu, lalu Abraham pun kembali ke kediamannya.