Kejadian 18:1-15

Kejadian 18:1-15 AVB

TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok oak Mamre semasa dia duduk di pintu khemahnya sewaktu hari paling panas terik. Apabila dia mengangkat kepalanya kelihatan kepadanya tiga orang berdiri tidak begitu jauh daripadanya. Sebaik sahaja melihat mereka, berlarilah dia dari pintu khemahnya untuk mendapatkan mereka lalu sujud memberi hormat. Katanya, “Ya tuan, perkenankan hamba ini, janganlah kiranya tuan berlalu meninggalkan hambamu ini begitu sahaja. Air akan diambil agar tuan-tuan membasuh kaki dan berehat di bawah pokok ini. Izinkan hamba membawakan roti agar tuan-tuan dapat menyegarkan diri, kerana tuan-tuan sudah datang mengunjungi hamba. Setelah itu, barulah tuan-tuan meneruskan perjalanan.” Kata mereka, “Baik, lakukanlah seperti yang kaukatakan.” Abraham segera masuk ke dalam khemah mendapatkan Sarah dan berkata, “Cepat, ambillah tiga sukat tepung terbaik! Ulilah dan buatlah roti.” Kemudian Abraham berlari ke arah ternakan lembunya. Diambilnya seekor anak lembu yang tambun dan baik dagingnya lalu diserahkannya kepada hambanya, yang segera menyediakannya. Setelah itu, Abraham membawa dadih, air susu, dan anak lembu yang telah disediakan itu, lalu menyajikannya di hadapan para tetamunya itu. Sementara mereka makan, dia berdiri berdekatan dengan mereka di bawah pokok itu. Kemudian mereka bertanya kepadanya, “Di manakah isterimu, Sarah?” Jawabnya, “Di sana, di dalam khemah.” Kata seorang daripada mereka, “Tahun depan Aku akan kembali kepadamu, dan pada waktu itu Sarah, isterimu, akan mempunyai seorang anak lelaki.” Hal itu didengar oleh Sarah dari pintu khemah di belakang Abraham. Pada waktu itu, Abraham dan Sarah sudah tua dan lanjut umur mereka, malah Sarah pun sudah putus haid. Oleh itu, tertawalah Sarah dalam hatinya, katanya, “Akan berseronokkah aku setelah sebegini tua, apatah lagi suamiku pun sudah tua?” Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Abraham, “Mengapakah Sarah tertawa dan berkata, ‘Akankah aku lahirkan anak, kerana kini aku sudah tua begini?’ Adakah apa-apa yang mustahil bagi TUHAN? Pada waktu yang telah ditetapkan, iaitu tahun hadapan, Aku akan kembali kepadamu dan Sarah akan mempunyai seorang anak lelaki.” Sarah menjadi takut lantas dia menyangkal dan berkata, “Aku tidak tertawa.” Tetapi jawab-Nya, “Tidak, kamu memang tertawa.”