Kejadian 17:1-14

Kejadian 17:1-14 AVB

Ketika Abram berusia 99 tahun, TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa, hiduplah tanpa bercela di hadapan-Ku. Aku akan mengesahkan perjanjian antara Aku dengan kamu, dan Aku akan menjadikan keturunanmu sebegitu ramai.” Maka sujudlah Abram. Lalu Allah berfirman kepadanya, “Daripada pihak-Ku, inilah perjanjian-Ku dengan kamu: Kamu akan menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa. Namamu bukan Abram lagi, kini namamu Abraham, kerana Aku akan menjadikan kamu bapa kepada beberapa banyak bangsa. Aku akan membuat kamu beranak cucu sangat banyak. Melalui kamu Aku akan menjadikan bangsa-bangsa, bahkan raja-raja akan muncul daripada keturunanmu. Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak, turun-temurun, menjadi suatu perjanjian yang kekal, iaitu bahawa Aku akan menjadi Allah kepadamu dan kepada keturunanmu. Kepadamu dan kepada keturunanmu kelak akan Kuberikan negeri yang kini kamu tinggal sebagai pendatang, iaitu seluruh Tanah Kanaan yang akan menjadi milikmu yang kekal. Aku pun akan menjadi Allah mereka.” Firman Allah pula kepada Abraham, “Bagi pihakmu, kamu dan juga keturunanmu kelak turun-temurun mesti berpegang teguh pada perjanjian-Ku. Inilah perjanjian-Ku yang harus kamu pegang teguh, iaitu perjanjian antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak: Setiap lelaki antara kamu harus disunatkan. Kulup iaitu kulit khatanmu mesti dikerat, dan itu akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dengan kamu. Bagi kesemua keturunanmu, setiap anak lelaki berumur delapan hari mesti disunatkan, sama ada mereka yang dilahirkan di rumahmu atau yang dibeli daripada orang asing mana-mana pun yang bukan keturunanmu. Anak lelaki yang lahir di rumahmu ataupun yang dibeli dengan wang harus disunatkan. Demikianlah tanda peringatan perjanjian-Ku akan jelas kelihatan dan kekal pada tubuhmu. Lelaki yang tidak disunatkan, iaitu yang kulupnya tidak dikerat, perlu disingkirkan daripada suku bangsanya kerana dia gagal menyempurnakan kehendak perjanjian-Ku.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kejadian 17:1-14