Kejadian 14:10-22

Kejadian 14:10-22 AVB

Lembah Sidim penuh dengan lubang tar dan ketika raja-raja Sodom dan Gomora melarikan diri ke Lembah Sidim, ada beberapa daripada mereka yang terperosok ke dalam lubang-lubang tar itu manakala yang masih hidup melarikan diri ke pergunungan. Empat orang raja yang menang merampas segala harta benda Sodom dan Gomora serta segala bahan makanan mereka lalu pergi. Mereka juga membawa Lut, anak saudara Abram, dengan harta bendanya kerana ia tinggal di Sodom. Setelah itu, mereka pergi. Lalu seorang yang berjaya melarikan diri pergi menemui Abram, orang Ibrani itu dan memberitahukan hal itu kepadanya. Pada masa itu Abram tinggal berdekatan dengan pokok-pokok oak milik Mamre, seorang warga Amori, saudara kepada Eskol dan Aner. Mereka ini ialah sekutu Abram. Ketika Abram mendengar bahawa anak saudaranya telah ditawan, dia mengerahkan 318 orang terlatih yang lahir di rumahnya. Lalu mereka mengejar gerombolan berkenaan sampai ke Dan. Abram membahagikan pasukannya untuk menyerang musuh pada waktu malam. Mereka mengalahkan musuh dan mengejar mereka sampai ke Hoba, di sebelah utara Damsyik. Segala harta benda dibawanya kembali, juga Lut, saudaranya, dengan harta bendanya, serta perempuan-perempuan dan orang lain. Setelah Abram kembali daripada mengalahkan Kedorlaomer serta para raja yang menjadi sekutunya, raja Sodom keluar untuk menemui Abram di Lembah Syawe, yang dikenali sebagai Lembah Raja. Kemudian Melkisedek, raja Salem yang merupakan seorang imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan anggur. Dia memohon agar Abram diberkati, katanya, “Diberkatilah Abram oleh Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi. Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke dalam tanganmu.” Lalu Abram memberinya sepersepuluh daripada segala harta benda itu. Berkatalah raja Sodom kepada Abram, “Berilah aku orang itu, dan ambillah harta benda itu untukmu.” Tetapi Abram menjawab raja Sodom, “Aku telah bersumpah kepada TUHAN, iaitu Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi