Kejadian 12:10-20

Kejadian 12:10-20 AVB

Atas sebab bencana kebuluran yang menimpa negeri itu, Abram pun pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang kerana bencana kebuluran itu sangat teruk di negeri itu. Ketika hampir memasuki Mesir, berkatalah dia kepada Sarai, isterinya, “Dengarlah, kamu seorang perempuan dan rupa parasmu cantik. Boleh terjadi kelak, apabila orang Mesir melihat kamu, mereka akan berkata, ‘Itu isterinya.’ Lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan kamu hidup. Oleh sebab itu, kamu katakanlah yang kamu saudaraku, supaya aku dilayan dengan baik demi dirimu, dan nyawaku selamat berkat dirimu.” Sewaktu Abram memasuki Mesir, memang para warga Mesir melihat betapa cantiknya Sarai. Para pembesar Firaun juga melihat Sarai, lalu memuji-muji kejelitaannya di hadapan Firaun. Lantas perempuan itu dijemput ke istana Firaun, dan Firaun melayan Abram dengan baik demi perempuan itu. Abram mendapat kawanan domba, lembu, keldai jantan dan betina, unta, serta para hamba lelaki dan perempuan. Akan tetapi, TUHAN mengazab Firaun dan istananya dengan pelbagai wabak penyakit yang dahsyat kerana Sarai, isteri Abram itu. Lalu Firaun memanggil Abram dan berkata, “Apakah yang kamu lakukan kepada aku ini? Mengapakah kamu tidak memberitahu aku bahawa dia isterimu? Mengapakah kamu berkata, ‘Dia saudaraku,’ sehingga aku mengambilnya untuk dijadikan isteriku? Sekarang, inilah isterimu. Ambillah dia dan pergilah!” Kemudian Firaun memberikan perintah kepada orangnya tentang Abram, lalu mereka menghantar dia pergi bersama-sama isterinya dan segala sesuatu yang dimilikinya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami