Galatia 3:5-14

Galatia 3:5-14 AVB

Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan? Samalah sebagaimana Abraham: “Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Abraham. Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Abraham terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.” Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Abraham yang beriman. Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: “Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.” Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.” Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, “Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Kristus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.” Dia menebus kita supaya berkat Abraham datang kepada bangsa asing melalui Kristus Yesus, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Galatia 3:5-14