Galatia 1:11-24

Galatia 1:11-24 AVB

Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia. Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Yesus Kristus. Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya. Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku dalam kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku. Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya berkenan untuk menyatakan Anak-Nya dalamku agar aku mengkhabarkan tentang Dia dalam kalangan bangsa lain. Pada waktu itu, aku sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesama manusia. Aku tidak juga pergi ke Yerusalem untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke Tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik. Tiga tahun kemudian, aku ke Yerusalem bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari. Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain — kecuali Yakobus, saudara Tuhan Yesus. Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong. Selepas itu, aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia. Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah Kristus di Yudea. Mereka hanya mendengar: “Orang yang dahulu menganiaya kita sekarang mengkhabarkan iman yang hendak dibinasakannya dahulu.” Lalu mereka memuji Allah keranaku.