Setelah peristiwa-peristiwa itu, pada masa pemerintahan Artahsasta, raja Parsi, tampillah Ezra anak Seraya, anak Azarya, anak Hilkia, anak Salum, anak Zadok, anak Ahitub anak Amarya, anak Azarya, anak Merayot, anak Zerahya, anak Uzi, anak Buki, anak Abisua, anak Pinehas, anak Eleazar, anak Harun, ketua imam itu.
Ezra berangkat pulang dari Babel. Dia seorang ahli Kitab Suci, mahir dalam Kitab Suci Taurat yang diberikan TUHAN, Allah Israel, melalui Musa. Segala permintaannya diluluskan oleh raja kerana tangan TUHAN, Allahnya, menaunginya. Pada tahun ketujuh zaman pemerintahan Raja Artahsasta, serombongan orang daripada orang Israel, imam dan bani Lewi, penyanyi, penjaga pintu gerbang, serta hamba Bait Allah juga berangkat pulang menuju Yerusalem. Ezra tiba di Yerusalem pada bulan kelima dalam tahun ketujuh zaman pemerintahan raja itu. Pada hari pertama bulan pertama itu dia memulakan perjalanannya dari Babel, dan pada hari pertama pada bulan kelima sampailah dia di Yerusalem, kerana tangan Allahnya yang baik menaunginya. Ezra memang telah menetapkan hatinya untuk mengkaji hukum TUHAN, mengamalkannya, dan mengajarkan ketetapan serta peraturan kepada orang Israel.