Ezra 3:7-13

Ezra 3:7-13 AVB

Oleh sebab itu mereka memberikan wang kepada tukang batu dan tukang kayu, juga memberikan makanan, minuman, serta minyak kepada orang Sidon dan Tirus, supaya mereka membawa kayu araz dari Lebanon ke laut dekat Yope, menepati keizinan yang diberikan kepada mereka oleh Kores, raja Parsi. Pada tahun kedua setelah mereka sampai di Rumah Allah di Yerusalem, tepatnya dalam bulan kedua, Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak berserta saudara-saudara mereka yang selebihnya, iaitu imam, bani Lewi, dan semua orang yang pulang dari tempat penawanan ke Yerusalem, memulai pekerjaan itu. Mereka menugaskan bani Lewi yang berumur dua puluh tahun ke atas untuk mengawasi pekerjaan di Bait TUHAN. Yesua dengan anak-anak dan saudara-saudaranya, juga Kadmiel dengan anak-anaknya, juga anak-anak Yehuda, mengawasi mereka yang melaksanakan pekerjaan di Rumah Allah. Demikian jugalah bani Henadad dengan anak-anak dan saudara-saudara mereka, iaitu bani Lewi. Ketika jurubina meletakkan asas Bait Suci TUHAN, tampillah para imam dengan pakaian istiadat mereka sambil membawa nafiri, manakala bani Lewi daripada bani Asaf pula membawa gembereng dengan tujuan untuk memuji TUHAN menurut petunjuk Daud, raja Israel. Kemudian mereka menyanyi secara berbalas-balasan sambil memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN: “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya terhadap Israel.” Seluruh rakyat bersorak-sorai dengan suara yang nyaring sambil memuji TUHAN, kerana asas Bait TUHAN telah diletakkan. Akan tetapi, antara imam, bani Lewi, dan ketua kaum keluarga, iaitu tua-tua yang pernah melihat bait terdahulu, banyak yang menangis dengan suara nyaring ketika peletakan asas itu dilaksanakan di hadapan mata mereka. Ada ramai orang pula yang bersorak-sorai dengan suara nyaring kerana gembira. Orang tidak dapat membezakan lagi antara bunyi sorak-sorai kegembiraan dengan bunyi tangisan umat, kerana umat bersorak dengan suara nyaring sehingga bunyinya kedengaran sampai di tempat yang jauh.