Sesudah itu, pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat mengadakan perayaan bagi-Ku di gurun.’ ”
Tetapi kata Firaun, “Siapakah TUHAN itu sehingga aku harus mematuhi-Nya dan mengizinkan orang Israel pergi? Aku tidak kenal akan TUHAN itu dan aku tidak mengizinkan orang Israel pergi.”
Kemudian mereka berkata, “Allah orang Ibrani menemui kami. Izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke gurun dan mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami, supaya Dia tidak mengazab kami dengan wabak penyakit atau dengan pedang.”
Tetapi kata raja Mesir kepada mereka, “Musa dan Harun, mengapakah kamu membuat orang Israel untuk melalaikan pekerjaan mereka? Kembali bekerja kamu!” Tambah Firaun lagi, “Lihat, sekarang bangsa itu sudah begitu ramai di negeri ini, dan kamu mahu menghentikan mereka daripada pekerjaan mereka.”
Maka pada hari itu juga Firaun memberikan perintah demikian kepada para tukang kerah orang Israel itu dan kepada para mandur mereka, “Jangan lagi kamu beri bangsa itu jerami untuk membuat batu bata seperti sebelumnya. Biarkan mereka sendiri pergi mengumpulkan jerami. Namun begitu, jumlah batu bata yang perlu dibuat mereka mestilah sama banyaknya dengan yang dibuat mereka sebelumnya; jangan menguranginya. Mereka itu pemalas maka itulah sebabnya mereka berteriak, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada Allah kami.’ Beratkan pekerjaan mereka itu lagi supaya mereka terus bekerja dan tidak menghiraukan kata-kata dusta.”
Maka keluarlah para pengerah bangsa itu dan para mandur, lalu berkatalah mereka kepada orang Israel, “Beginilah titah Firaun, ‘Aku tidak akan memberikan jerami lagi kepadamu. Pergi dan carilah sendiri jerami di mana-mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Akan tetapi, bahagian pekerjaanmu tidak boleh kurang sedikit pun.’ ” Maka orang Israel menjelajah seluruh Tanah Mesir untuk mengumpulkan tunggul gandum sebagai jerami. Para tukang kerah terus mendesak mereka dengan berkata, “Selesaikanlah pekerjaanmu sehari-hari seperti pada waktu ada jerami.” Lalu para tukang kerah Firaun memukul para mandur orang Israel yang diangkat oleh mereka untuk menyelia bangsa mereka sambil berkata, “Mengapa kelmarin ataupun hari ini jumlah batu bata yang kamu buat tidak menurut jumlah yang ditetapkan, iaitu seperti dahulu?”
Maka pergilah para mandur orang Israel menghadap Firaun lalu berseru, “Mengapakah tuanku bertindak seperti itu kepada hamba-hambamu ini? Jerami tidak lagi diberikan kepada hamba-hambamu ini, tetapi para tukang kerah berkata kepada kami, ‘Buat batu bata!’ Ketahuilah, hamba-hambamu ini dipukul padahal orang tuanku yang bersalah.”
Kata Firaun, “Memang kamu semua pemalas! Maka sebab itulah kamu berkata, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN.’ Sekarang, pergilah bekerja semula! Kamu tidak akan diberi jerami lagi tetapi jumlah batu bata yang mesti kamu serahkan sama seperti biasa!” Maka sedarlah para mandur orang Israel bahawa mereka berada dalam kesusahan apabila mereka diberitahu, “Kamu tidak boleh mengurangkan jumlah batu bata yang ditetapkan setiap hari.”
Ketika mereka keluar meninggalkan Firaun, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang berdiri menantikan mereka. Lalu kata mereka kepada kedua-duanya, “Semoga TUHAN melihat perbuatanmu serta menghukum kamu, kerana kamu telah membusukkan nama kami di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya. Kamu memberikan sebilah pedang kepada mereka untuk membunuh kami.”
Maka kembalilah Musa menghadap TUHAN, katanya, “Ya Tuhan, mengapakah Engkau menyusahkan bangsa ini? Mengapakah pula Engkau mengutus hamba-Mu ini? Sejak hamba-Mu menghadap Firaun untuk berbicara atas nama-Mu, dia telah melakukan kejahatan terhadap bangsa ini. Engkau sama sekali tidak melepaskan umat-Mu.”