Keluaran 33:7-19

Keluaran 33:7-19 AVB

Sudah kebiasaan untuk Musa mengambil sebuah khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan, agak jauh dari perkhemahan. Dia menamai khemah itu Khemah Pertemuan. Maka sesiapa pun yang mahu mendapatkan petunjuk TUHAN akan pergi ke Khemah Pertemuan, yang terletak di luar perkhemahan itu. Apabila Musa pergi ke khemah itu, bangkitlah seluruh warga lantas masing-masing berdiri di pintu khemahnya. Pandangan mereka mengikuti Musa sampai dia masuk ke dalam khemah itu. Setelah Musa masuk ke dalam khemah itu, turunlah tiang awan lalu berdiri tegak di pintu khemah itu. Kemudian TUHAN pun berfirman kepada Musa. Apabila seluruh umat itu melihat tiang awan berdiri di pintu khemah, mereka pun segera sujud menyembah, masing-masing di pintu khemahnya. Berfirmanlah TUHAN kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya. Setelah itu, kembalilah Musa ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi penolongnya, tidak meninggalkan khemah itu. Musa berkata kepada TUHAN, “Memang Engkau ada berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah bangsa ini,’ tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, ‘Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu.’ Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu.” Firman-Nya, “Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu.” Kata Musa kepada-Nya, “Jika hadirat-Mu tidak memimpin aku, janganlah kami dibawa pergi dari sini. Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?” Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini, kerana Aku berkenan kepadamu dan Aku mengenal namamu.” Kata Musa, “Tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu.” Firman-Nya, “Segala kegemilangan-Ku akan Kulalukan di hadapanmu dan Aku akan menyeru nama TUHAN di hadapanmu. Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.”