Keluaran 33:12-23

Keluaran 33:12-23 AVB

Musa berkata kepada TUHAN, “Memang Engkau ada berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah bangsa ini,’ tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, ‘Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu.’ Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu.” Firman-Nya, “Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu.” Kata Musa kepada-Nya, “Jika hadirat-Mu tidak memimpin aku, janganlah kami dibawa pergi dari sini. Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?” Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini, kerana Aku berkenan kepadamu dan Aku mengenal namamu.” Kata Musa, “Tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu.” Firman-Nya, “Segala kegemilangan-Ku akan Kulalukan di hadapanmu dan Aku akan menyeru nama TUHAN di hadapanmu. Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.” Firman-Nya lagi, “Kamu tidak dapat memandang wajah-Ku, kerana tiada manusia yang dapat memandang Aku dan terus hidup.” Firman TUHAN, “Ada sebuah tempat dekat-Ku, dan kamu akan berdiri di atas keutuhan batu pejal itu. Kelak apabila kemuliaan-Ku berlalu, Aku akan meletakkan kamu di celah batu gunung itu dan Aku akan melindungi kamu dengan tangan-Ku sehingga Aku selesai melintas lalu. Kemudian Aku akan menarik semula tangan-Ku dan kamu akan melihat belakang-Ku, tetapi muka-Ku tidak akan terlihat.”