Keluaran 3:1-15

Keluaran 3:1-15 AVB

Sewaktu itu Musa menggembala kawanan ternakan domba kepunyaan ayah mertuanya, Yitro, imam di Midian dan dia menggiring ternakan itu ke daerah paling hujung di gurun lalu ke gunung Allah, iaitu Horeb. Lalu malaikat TUHAN menampakkan diri kepadanya dalam api bernyala di tengah-tengah sebuah belukar. Maka Musa melihat api menyala-nyala di tengah belukar itu walhal api itu tidak memakan pun belukar itu. Fikir Musa, “Elok juga jika kulihat dari dekat mengapakah belukar itu tidak terbakar?” Apabila TUHAN melihat Musa menghampiri-Nya, Allah pun berseru kepadanya dari tengah-tengah belukar itu, firman-Nya, “Musa, Musa!” Lalu dia menjawab, “Ya, aku ada di sini.” Allah berfirman, “Jangan datang lebih dekat. Tanggalkan kasutmu dari kakimu kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.” Firman-Nya lagi, “Akulah Allah ayahmu, juga Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub.” Lalu Musa menutup mukanya, kerana dia takut memandang Allah. Berfirmanlah TUHAN, “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu, iaitu wilayah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus. Sesungguhnya, Aku telah mendengar rintihan orang Israel, dan telah melihat betapa tertindasnya mereka dalam tangan warga Mesir. Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir.” Akan tetapi, Musa berkata kepada Allah, “Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” Firman-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan bersama dengan kamu. Inilah tanda untukmu bahawa Aku yang mengutus kamu: Apabila kamu telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada Allah di gunung ini.” Kata Musa kepada Allah, “Tetapi apabila hamba mendatangi orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyangmu mengutus aku kepadamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’ Apakah yang harus hamba katakan kepada mereka?” Firman Allah kepada Musa, “Akulah AKU.” Firman-Nya lagi, “Kamu harus berkata begini kepada orang Israel, ‘Akulah AKU yang mengutus aku kepadamu.’ ” Allah selanjutnya berfirman kepada Musa, “Kamu harus katakan begini kepada orang Israel, ‘TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub, telah mengutus aku kepadamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku diseru turun-temurun.