Lalu Allah berfirman semua kata ini:
“Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.
Jangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.
Jangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, Allah yang cemburu, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku. Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.
Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu, dengan sembarangan, kerana TUHAN akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.
Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu. Kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.
Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang TUHAN, Allahmu, kurniakan kepadamu.
Jangan membunuh.
Jangan berzina.
Jangan mencuri.
Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.