Ketika mertua Musa melihat semua pekerjaan Musa atas umat itu, berkatalah dia, “Apakah yang kaulakukan terhadap umat ini? Mengapakah engkau sendiri sahaja yang menjadi hakim sementara seluruh umat itu berdiri di hadapanmu dari pagi sampai petang?” Jawab Musa kepada mertuanya, “Sebabnya bangsa ini datang kepadaku untuk mencari petunjuk Allah. Jika ada suatu perkara antara mereka, maka mereka datang kepadaku dan aku menjadi hakim antara seorang dengan sesamanya. Aku menyampaikan kepada mereka segala ketetapan dan hukum Allah.” Lalu kata mertua Musa kepadanya, “Apa yang kamu lakukan ini tidak baik. Sebab dengan cara itu, kamu dan juga umat yang berserta denganmu ini akan menjadi sangat penat. Pekerjaan ini terlalu berat bagimu dan engkau tidak dapat mengerjakannya seorang diri. Sekarang, dengarlah kata-kataku. Aku mahu memberikan nasihat kepadamu dan semoga Allah menyertai kamu. Kamu harus menghadap Allah mewakili umat itu serta menyampaikan perkara-perkara mereka kepada Allah. Ajarlah mereka ketetapan-ketetapan serta hukum-hukum, dan beritahu mereka cara hidup yang patut dijalani mereka serta pekerjaan yang patut dilakukan mereka. Selain itu, carilah dalam kalangan seluruh umat itu beberapa orang yang berkebolehan lagi takut kepada Allah, orang yang boleh dipercayai dan amanah iaitu tidak dapat disuap. Lantiklah mereka untuk menjadi pemimpin bagi seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. Biarkanlah mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Semua perkara yang besar-besar hendaklah dibawa mereka kepadamu, tetapi semua perkara yang kecil-kecil hendaklah diadili sendiri oleh mereka. Dengan demikian, akan ringanlah pekerjaanmu manakala mereka turut memikul beban untuk memimpin bersama-samamu. Jika hal itu kaulakukan dan Allah memang memerintahkannya kepadamu, maka engkau akan sanggup menanggungnya dan seluruh umat ini juga akan pulang ke tempat mereka dengan sejahtera.” Musa mendengar nasihat mertuanya lalu melaksanakan semua yang dikatakannya.
Baca Keluaran 18
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Keluaran 18:14-24
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video