Keluaran 14:5-13

Keluaran 14:5-13 AVB

Ketika dikhabarkan kepada raja Mesir bahawa bangsa itu sudah lari, maka berubahlah fikiran Firaun dan para pegawainya terhadap bangsa itu. Mereka berkata, “Apakah yang telah kita lakukan ini? Kita melepaskan orang Israel daripada perhambaan kita!” Lalu dia mempersiapkan segala ratanya dan membawa pasukannya bersama-samanya. Dia membawa enam ratus rata pilihan serta kesemua rata yang ada di Mesir, lengkap dengan para perwira yang mengepalai kesemuanya. TUHAN mengeraskan hati Firaun, raja Mesir, sehingga dia mengejar orang Israel. Sementara itu orang Israel bergerak dengan semangat yang tinggi. Orang Mesir mengejar mereka dengan semua kuda dan rata Firaun, dan dengan pasukan tentera berkuda. Mereka hendak menyusul orang Israel yang sedang berkhemah di tepi laut, dekat Pi-Hahirot, berhadapan dengan Baal-Zefon. Ketika Firaun sudah dekat dan orang Israel melayangkan pandang mereka, kelihatanlah betapa warga Mesir bergerak menyusul mereka. Maka orang Israel menjadi sangat ketakutan, lalu mereka berseru kepada TUHAN. Kata mereka kepada Musa, “Apakah kerana tidak ada kuburan di Mesir maka engkau membawa kami pergi untuk mati di gurun ini? Apakah yang kaulakukan ini terhadap kami dengan membawa kami keluar dari Mesir? Bukankah di Mesir telah kami katakan kepadamu, ‘Jangan ganggu kami, biarlah kami menghambakan diri kepada warga Mesir’? Lebih baik kami menjadi hamba kepada orang Mesir daripada mati di gurun ini.” Lalu kata Musa kepada bangsa itu, “Jangan takut. Tetaplah berdiri dan lihatlah penyelamatan daripada TUHAN yang akan diberikan-Nya kepadamu pada hari ini, kerana selepas ini, warga Mesir yang kamu lihat kini tidak akan kamu lihat lagi buat selama-lamanya.