Ulangan 16:9-16

Ulangan 16:9-16 AVB

Hendaklah kamu menghitung tujuh minggu yang dimulai sejak kali pertama sekali sabit menuai gandum yang belum dipotong. Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi TUHAN, Allahmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu. Bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, bani Lewi yang ada di kotamu, pendatang, anak yatim, mahupun balu yang ada dalam kalangan kamu. Ingatlah bahawa engkau pun dahulu hamba di Mesir. Taatilah teguh dan laksanakanlah kanun-kanun ini. Hendaklah kamu merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari setelah engkau mengumpulkan hasil tempat pembantingan kamu dan tempat pemerasan anggurmu. Pada hari rayamu itu bersuka rialah engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, orang Lewi, pendatang, anak yatim, serta balu yang ada di kotamu. Hendaklah selama tujuh hari kamu mengadakan perayaan bagi TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih TUHAN, kerana TUHAN, Allahmu, akan memberkati segala hasil tanahmu dan segala pekerjaan tanganmu. Jadi, hendaklah engkau bersuka ria dengan bersungguh-sungguh. Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Tujuh Minggu, dan Perayaan Pondok Daun, hendaklah setiap lelaki dalam kalangan kamu menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih-Nya. Jangan seorang pun menghadap hadirat TUHAN dengan tangan kosong.