Daniel 1:1-8

Daniel 1:1-8 AVB

Pada tahun ketiga dalam zaman pemerintahan Yoyakim, raja Yehuda, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, ke Yerusalem lalu mengepung kota itu. Tuhan menyerahkan Yoyakim, raja Yehuda, ke dalam tangannya berserta sebahagian daripada perkakas-perkakas Rumah Allah. Nebukadnezar membawa kesemua itu ke Tanah Sinear, ke kuil dewanya. Perkakas-perkakas itu dimasukkan ke dalam tempat perbendaharaan dewanya. Kemudian raja itu menyuruh Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk membawa beberapa orang Israel daripada kalangan keturunan raja serta para bangsawan. Mereka itu haruslah orang muda yang sama sekali tidak ada cacat-cela, bagus perawakan, memahami segala kebijaksanaan, berpengetahuan luas, mengerti ilmu, dan yang berkemampuan untuk berkhidmat di dalam istana raja. Mereka harus diajar tulisan dan bahasa orang Kasdim. Raja menetapkan bagi mereka peruntukan hidangan harian daripada santapan dan minuman anggur diraja. Mereka harus dididik selama tiga tahun, dan setelah itu mereka akan berkhidmat kepada raja. Antara mereka ada beberapa orang Yehuda, iaitu Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya. Ketua pegawai istana itu memberikan nama baru kepada mereka. Daniel dinamakannya Beltsazar, Hananya dinamakannya Sadrakh, Misael dinamakannya Mesakh, dan Azarya dinamakannya Abednego. Daniel bertekad untuk tidak menajiskan diri dengan santapan atau minuman anggur diraja. Oleh sebab itu dia meminta kepada ketua pegawai istana supaya diizinkan untuk tidak menajiskan diri.