Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.” Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yohanes sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Yesus. Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi. Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri, “Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya, sudah nyata kepada semua orang Yerusalem bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas dalam kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan menggunakan nama itu.” Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Yesus. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah, kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.” Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu; padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
Baca Kisah Para Rasul 4
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Kisah Para Rasul 4:12-22
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video