“Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.” Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap.
Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di Tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini. Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan. Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para murid Yesus di sana dan membawa mereka ke Yerusalem ini untuk diseksa.”
“Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar dari langit bersinar mengelilingiku. Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, ‘Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?’ Aku berkata, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Jawab-Nya, ‘Akulah Yesus orang Nazaret yang kauaniayakan.’ Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu. Aku berkata, ‘Tuan, apakah yang harus kulakukan?’ Dia menjawab, ‘Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untuk kaulakukan.’ Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.
Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik. Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, ‘Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!’ Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya. Dia berkata, ‘Allah nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Yesus Yang Benar serta mendengar suara-Nya. Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu. Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk dibaptiskan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.’ ”
“Setelah aku pulang ke Yerusalem, sedang aku berdoa di Bait Suci, aku terlalai lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, ‘Segeralah keluar dari Yerusalem, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.’ Aku berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah; dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.’ Kata-Nya kepadaku, ‘Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.’ ”
Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, “Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!” Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan.