Kisah Para Rasul 20:3-38

Kisah Para Rasul 20:3-38 AVB

tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu, dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia. Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater anak Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus. Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas. Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari. Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam. Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati. Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, “Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.” Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat. Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur. Kami berjalan dahulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki. Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene. Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan Pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus. Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Yerusalem pada Perayaan Pentakosta. Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ. Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah. Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengkhabarkan kerajaan Allah. Oleh itu, pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia. Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan. Jagalah dirimu dan semua kawanan kerana kamulah yang telah diamanahkan Roh Kudus untuk menjadi penyelia bagi menggembalakan jemaah Allah yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri. Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini; malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik para murid untuk mengikut mereka. Oleh itu, berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat yang telah disucikan. Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang. Kamu tahu bahawa kedua-dua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku. Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Tuhan Yesus, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.’ ” Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir. Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus. Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.