Kisah Para Rasul 15:22-31

Kisah Para Rasul 15:22-31 AVB

Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia. Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Tuhan kita Yesus Kristus. Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara pesan daripada Roh Kudus dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu. Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.” Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka.