Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara. Ingatlah bahawa Yesus Kristus, keturunan Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan, yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan. Oleh itu, aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Kristus Yesus dengan kemuliaan yang kekal. Kata-kata ini benar: Jika kita mati bersama-Nya, kita juga akan hidup bersama-Nya; jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya. Jika kita menyangkal-Nya, Dia juga akan menyangkal kita; jika kita tidak setia, Dia tetap setia, Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya. Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar. Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya. Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran. Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini. Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang. Namun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan dengan materai ini: “Tuhan mengenal siapa milik-Nya,” dan “Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan.”
Baca 2 Timotius 2
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: 2 Timotius 2:7-19
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video