Amat jahatnya kelakuan anak-anak lelaki Eli. Mereka tidak mengenal TUHAN. Amalan masa itu ialah para imam bertindak sewenang-sewenangnya terhadap umat biasa. Ketika seseorang mempersembahkan korban sembelihan, pembantu imam akan datang membawa garpu serampang tiga sementara daging itu masih direbus. Dia akan mencucukkan garpu ke dalam wadah, kuali, belanga, atau periuk, lalu apa-apa pun yang terangkat oleh garpu itu akan diambil oleh imam untuk dirinya sendiri. Demikianlah yang dilakukan mereka di Silo terhadap semua orang Israel yang datang ke sana. Bahkan sebelum lemaknya dibakar, pembantu imam akan datang kepada orang yang mempersembahkan korban dan berkata, “Berikanlah daging itu kepada imam untuk dipanggang. Dia tidak mahu menerima daripadamu daging yang direbus, melainkan yang mentah.”
Jika orang itu berkata kepadanya, “Lemaknya harus dibakar dahulu. Setelah itu, ambillah sesuka hatimu,” maka hamba itu akan menjawab dia, “Berikan sekarang juga. Kalau tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa!”
Jadi, sangatlah besar dosa para pemuda itu di hadapan TUHAN, kerana mereka memandang rendah persembahan yang diperintahkan TUHAN.
Sementara itu, Samuel menjadi penyelenggara ibadat di hadapan TUHAN. Anak itu memakai baju efod daripada kain linen. Ibunya biasa membuat sehelai jubah kecil untuknya, lalu setiap tahun jubah itu dibawanya untuk anaknya ketika dia pergi bersama-sama suaminya untuk mempersembahkan korban sembelihan tahunan. Kemudian Eli akan memohonkan berkat bagi Elkana dan isterinya, katanya, “Semoga TUHAN mengurniakan kepadamu keturunan daripada perempuan ini sebagai pengganti yang telah diserahkannya kepada TUHAN.” Setelah itu, mereka pulang ke tempat tinggal mereka.
TUHAN melawat Hana, sehingga dia mengandung dan melahirkan lagi tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel yang muda itu pun bertambah besar di hadirat TUHAN.
Eli sudah sangat tua. Dia mendengar segala sesuatu yang dilakukan anak-anaknya terhadap semua orang Israel dan bahawa mereka tidur dengan perempuan-perempuan yang menunaikan tugas di muka pintu Khemah Pertemuan. Katanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan hal-hal semacam itu? Kudengar khabar tentang segala kejelikan perbuatan kamu terhadap seluruh umat itu. Jangan begitu, anak-anakku. Yang kudengar ialah khabar buruk yang tersebar dalam kalangan umat TUHAN. Jika seseorang berdosa terhadap orang lain, maka Allah akan menghakiminya.
Tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang akan menjadi orang tengahnya?” Namun demikian, mereka tidak mengendahkan kata-kata ayah mereka, kerana TUHAN hendak mematikan mereka.
Samuel yang muda itu semakin besar dan semakin disukai, baik oleh TUHAN mahupun oleh manusia.
Suatu waktu datanglah seorang hamba Allah kepada Eli dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Bukankah ketika orang Israel masih di Mesir dan masih di bawah kuk keturunan Firaun, Aku telah menyatakan diri-Ku kepada para leluhurmu? Daripada kalangan semua suku Israel, Aku memilih dia untuk menjadi imam bagi-Ku, untuk naik ke mazbah-Ku, untuk membakar dupa, dan memakai baju efod di hadirat-Ku. Aku pun mengurniakan kepada keluarga leluhurmu segala korban bakaran orang Israel. Jadi, mengapakah kamu semua haloba serta meremehkan korban sembelihan dan persembahan bahan makanan bagi-Ku, serta mengetepikan Aku? Mengapakah engkau menghormati anak-anakmu melebihi Aku, dan menggemukkan diri dengan bahagian-bahagian yang terbaik daripada segala persembahan umat-Ku, orang Israel?’ Jadi, demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku memang telah berfirman bahawa keluargamu dan keluarga leluhurmu akan hidup di hadapan-Ku untuk selama-lamanya,’ tetapi sekarang, demikianlah firman TUHAN, ‘jauhlah hal itu daripada-Ku! Orang yang memuliakan-Ku akan Kumuliakan, dan orang yang meremehkan Aku akan dipandang hina. Sesungguhnya, akan datang harinya Aku mematahkan kekuatanmu dan kekuatan keluarga leluhurmu sehingga tidak akan ada seorang pun yang tua dalam keluargamu. Engkau akan memandang kesesakan di tempat hadirat-Ku. Walaupun segala kebaikan akan dikurniakan kepada Israel, tidak akan ada seorang yang tua dalam keluargamu untuk selamanya. Setiap orang dalam kalanganmu yang tidak Kulenyapkan daripada mazbah-Ku akan membuat matamu sayu dan menggusari hatimu, dan semua keturunan keluargamu akan mati pada masa akil baligh mereka. Hal yang akan menimpa kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, akan menjadi tanda bagimu: pada hari yang sama kedua-duanya akan mati. Kemudian Aku akan membangkitkan bagi-Ku seorang imam yang penuh amanah dan yang akan bertindak selaras dengan kehendak hati dan jiwa-Ku. Aku akan membangunkan baginya sebuah keluarga yang teguh, dan dia akan sentiasa hidup di hadapan orang yang Kulantik. Kemudian, sesiapa daripada kalangan keluargamu yang masih hidup akan datang bersujud kepadanya untuk meminta sekeping perak dan sebuku roti sambil berkata, “Kumohon masukkanlah aku ke dalam salah satu jawatan imam, supaya aku dapat makan sekeping roti.” ’ ”