1 Samuel 18:5-15

1 Samuel 18:5-15 AVB

Daud pergi ke mana-mana sahaja Saul mengutusnya. Dia selalu berhasil sehingga Saul melantik dia untuk menjadi ketua atas para anggota tenteranya. Hal itu dipandang baik oleh seluruh rakyat dan juga oleh para pegawai Saul. Semasa kepulangan mereka setelah Daud menumpaskan orang Filistin itu, keluarlah para perempuan dari semua kota di Israel sambil menyanyi dan menari demi menyambut Raja Saul dengan rebana serta dengan lagu-lagu penuh suka ria, dan dengan kecapi bertali tiga. Sambil tertawa-tawa para perempuan itu menyanyi berbalas-balasan, kata mereka, “Saul menumpaskan beribu-ribu musuh, dan Daud berpuluh-puluh ribu.” Lalu teramat marahlah Saul. Hatinya tidak berkenan dengan kata-kata itu, kerana fikirnya, “Bagi Daud disebutkan mereka berpuluh-puluh ribu, tetapi bagiku disebutkan mereka beribu-ribu sahaja. Apakah lagi yang akan diperolehnya kalau bukan kerajaan ini?” Maka sejak hari itu Saul menaruh curiga kepada Daud. Keesokan harinya, roh jahat yang diizinkan TUHAN turun ke atas Saul dengan penuh kuasa sehingga dia meramal di dalam rumah. Manakala, seperti kebiasaan pada setiap hari, Daud memetik kecapi. Pada waktu itu ada tombak di tangan Saul. Saul melemparkan tombak itu, kerana fikirnya, “Aku hendak menancapkan Daud ke dinding.” Tetapi Daud berjaya mengelak sebanyak dua kali. Saul menjadi takut kepada Daud kerana TUHAN menyertai Daud walhal Dia telah menjauhinya. Maka Saul menjauhkan Daud daripada kalangan warga istana lantas menjadikannya pemimpin pasukan seribu. Daud pun memimpin pergerakan pasukan, dan dia berhasil dalam segala tugas yang dijalankannya kerana TUHAN menyertainya. Apabila Saul melihat bahawa Daud sangat berhasil, dia menjadi takut kepadanya.