1 Samuel 17:32-50

1 Samuel 17:32-50 AVB

Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.” Kata Saul kepada Daud, “Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya.” Tetapi kata Daud kepada Saul, “Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup.” Kata Daud lagi, “TUHAN, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini.” Kata Saul kepada Daud, “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Kemudian Saul memasangkan pakaian perang pada Daud. Dipakainya ketopong tembaga di kepalanya, dan dikenakannya baju zirah padanya. Daud mengikatkan pedangnya pada pakaian perangnya lalu cuba untuk berjalan kerana dia belum pernah memakainya. Kata Daud kepada Saul, “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini, kerana hamba belum pernah memakainya.” Lalu Daud menanggalkan semua itu. Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. Kata orang Filistin itu kepada Daud, “Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?” Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya. Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, “Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!” Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 Samuel 17:32-50

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami