Pada suatu hari Yonatan anak Saul berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Mari kita menyeberang ke tempat pasukan orang Filistin di sebelah sana.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada ayahnya. Ketika itu Saul tinggal di pinggiran daerah Gibea, di gua pokok delima di Migron dengan disertai kira-kira enam ratus orang. Ahia anak Ahitub, saudara Ikabod anak Pinehas anak Eli, imam TUHAN di Silo, ialah orang yang memakai baju efod pada waktu itu. Maka rakyat juga tidak mengetahui bahawa Yonatan telah pergi.
Di antara genting yang dicari Yonatan untuk menyeberang ke kawasan pasukan Filistin itu ada ceracak batu di sebelah sana dan di sebelah sini, yang satu bernama Bozes dan yang lagi satu bernama Sene. Ceracak yang menjulang di sebelah utara berhadapan dengan Mikhmas manakala yang satu lagi itu di sebelah selatan berhadapan dengan Geba.
Yonatan berkata kepada pembantu pembawa senjatanya, “Ayuh kita menyeberang untuk mendatangi pasukan umat yang tidak bersunat itu. Barangkali TUHAN akan bertindak membantu kita, kerana memang TUHAN sanggup menyelamatkan baik orang yang ramai mahupun yang sedikit dan tiada yang dapat mencegah-Nya.”
Maka kata pembawa senjatanya itu kepadanya, “Lakukanlah segala yang tuan niatkan. Majulah. Hamba menyertai tuan dengan seluruh jiwa raga hamba.”
Kata Yonatan, “Perhatikan, kita menyeberang ke arah mereka itu dan akan memperlihatkan diri kepada mereka. Jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Tunggulah, kami akan datang kepadamu,’ maka kita akan tetap berdiri di tempat kita, dan tidak naik menemui mereka. Tetapi jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Naiklah ke tempat kami,’ maka kita akan naik. Itu bererti TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kita. Itulah tandanya bagi kita.”
Lalu kedua-duanya memperlihatkan diri kepada pasukan barisan orang Filistin. Berkatalah orang Filistin, “Tengok! Orang Ibrani itu keluar dari lubang-lubang tempat mereka menyembunyikan diri.” Lalu anggota pasukan itu berkata kepada Yonatan dan kepada pembawa senjatanya, “Naiklah ke tempat kami. Kami akan menunjukkan sesuatu kepadamu.”
Maka Yonatan berkata kepada pembawa senjatanya, “Naiklah, ikuti aku. TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel.” Maka naiklah Yonatan merangkak ke atas, dengan diikuti oleh pembawa senjatanya. Tewaslah anggota pasukan itu diparang oleh Yonatan, sementara pembawa senjatanya membunuh mereka dari belakangnya. Serangan pertama oleh Yonatan dengan pembawa senjatanya itu membunuh kira-kira dua puluh orang dalam jarak kira-kira setengah alur di kawasan seluas satu ekar tanah. Maka timbullah huru-hara di perkhemahan, di padang dan dalam kalangan pasukan itu. Seluruh barisan itu juga menjadi gementar, dan bumi bergegar sehingga berlakunya hiruk-pikuk yang besar.
Sementara itu, para peninjau Saul di Gibea-Benyamin melihat bahawa pasukan musuh tampaknya bertempiaran ke sana ke mari. Maka Saul berkata kepada pasukan yang menyertainya, “Hitunglah dan periksalah, siapa daripada kalangan kita yang pergi.” Setelah mereka menghitung, ternyata Yonatan dan pembawa senjatanya tidak ada. Kata Saul kepada Ahia, “Bawalah ke mari tabut Allah.” Pada waktu itu tabut Allah sememangnya pergi bersama-sama orang Israel. Tetapi sementara Saul berbicara dengan imam itu, huru-hara di perkhemahan orang Filistin semakin bertambah besar. Saul pun berkata kepada imam, “Tak perlu lagi.” Lalu Saul dan seluruh pasukan yang menyertainya berkumpul. Ketika mereka masuk ke medan perang, tampak pedang setiap orang mengenai kawannya. Huru-hara itu sangat besar. Mana-mana orang Ibrani yang sebelumnya menyertai orang Filistin dan maju bersama-sama orang Filistin ke perkhemahan itu dari daerah sekitar, berpaling lalu turut pula bergabung dengan orang Israel yang menyertai Saul dan Yonatan. Begitu jugalah semua orang Israel yang bersembunyi di Efraim mendengar bahawa orang Filistin telah melarikan diri, lalu mereka pun turut mengejar musuh itu dalam peperangan. Demikianlah TUHAN menyelamatkan orang Israel pada hari itu. Peperangan itu meluas sampai Bet-Awen.