1 Raja-Raja 19:11-18

1 Raja-Raja 19:11-18 AVB

Firman-Nya, “Keluarlah dan berdirilah di atas gunung itu, di hadapan TUHAN.” Kemudian TUHAN berlalu. Mendahului TUHAN ada angin yang besar dan kuat membelah gunung itu serta memecahkan bukit-bukit batu, tetapi TUHAN tidak ada di dalam angin itu. Sesudah angin itu ada gempa, tetapi TUHAN tidak ada di dalam gempa itu. Sesudah gempa itu ada api, tetapi TUHAN tidak juga ada di dalam api itu. Sesudah api itu ada suara yang lembut. Apabila Elia mendengar suara itu, diselubunginya mukanya dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di pintu gua itu. Tiba-tiba terdengarlah suara menyapanya demikian, “Apa yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.” Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah, kembalilah ke jalanmu menuju Gurun Damsyik. Sesampainya di sana, lantiklah Hazael untuk menjadi raja atas Aram. Lantiklah juga Yehu, cucu Nimsi, menjadi raja atas Israel, dan Elisa anak Safat dari Abel-Mehola menjadi nabi untuk menggantikan engkau. Nanti, sesiapa yang terselamat daripada pedang Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan sesiapa yang terselamat daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa. Namun demikian, Aku akan membiarkan terselamat tujuh ribu orang di Israel, iaitu semua orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal dan semua orang yang tidak menciumnya.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 Raja-Raja 19:11-18