1 Raja-Raja 1:32-48

1 Raja-Raja 1:32-48 AVB

Kemudian Raja Daud berkata, “Panggillah Imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada untuk menghadap aku.” Maka datanglah mereka menghadap raja. Kata raja kepada mereka, “Bawalah pegawai aku dan naikkanlah Salomo, anakku, ke atas baghal kenderaanku sendiri, lalu hantarlah dia ke Gihon. Di sana Imam Zadok dan nabi Natan harus melantik dia untuk menjadi Raja Israel. Kemudian tiuplah sangkakala sambil berseru, ‘Hidup Raja Salomo!’ Setelah itu, kamu harus mengiringi dia pulang ke mari. Dia akan masuk dan duduk di atas takhtaku, kerana dia harus menaiki takhta untuk menggantikan aku. Aku telah menetapkan dia untuk menjadi pemimpin atas Israel dan atas Yehuda.” Jawab Benaya anak Yoyada kepada raja, “Amin! Demikianlah kiranya firman TUHAN, Allah Tuanku Raja. Seperti TUHAN telah menyertai Tuanku Raja, semoga demikianlah jua Dia menyertai Salomo dan menjadikan takhtanya lebih agung daripada takhta Tuanku Raja Daud.” Maka pergilah imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada, dengan orang Kreti serta orang Pleti. Mereka menaikkan Salomo ke atas baghal Raja Daud dan menghantar dia ke Gihon. Imam Zadok mengambil tabung tanduk berisi minyak dari dalam Khemah Suci, lalu melantik Salomo. Kemudian sangkakala ditiup dan seluruh rakyat berseru, “Hidup Raja Salomo!” Sesudah itu seluruh rakyat pergi mengiringi dia. Orang ramai itu bermain seruling dan bersukacita sambil bersorak-sorai gembira, sampai bumi seakan-akan terbelah oleh suara mereka. Hal itu terdengar oleh Adonia dan semua undangan yang menyertainya ketika mereka baru selesai makan. Ketika Yoab mendengar bunyi sangkakala itu, dia bertanya, “Mengapakah ada bunyi keramaian di dalam kota?” Sementara dia berbicara, tiba-tiba datanglah Yonatan, anak Imam Abyatar. Kata Adonia, “Masuklah! Engkau orang baik, tentu engkau membawa khabar baik juga.” Tetapi jawab Yonatan kepada Adonia, “Tidak! Tuan kita Raja Daud telah mengangkat Salomo untuk menjadi raja. Raja telah menyuruh dia pergi bersama-sama imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada, juga orang Kreti serta orang Pleti. Mereka menaikkan dia ke atas baghal raja. Kemudian imam Zadok dan nabi Natan melantik dia di Gihon untuk menjadi raja. Mereka pergi dari sana dengan penuh sukacita, sehingga suasana kota pun menjadi riuh rendah. Itulah bunyi yang tuan-tuan dengar tadi. Sekarang Salomo telah duduk di atas takhta kerajaan. Para pegawai raja pun telah datang mengucapkan selamat kepada tuan kita Raja Daud, demikian, ‘Semoga Allahmu membuat nama Salomo lebih masyhur daripada nama tuanku, dan takhtanya lebih agung daripada takhta tuanku.’ Lalu raja sujud menyembah di peraduannya. Raja pun berkata begini, ‘Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Dia telah mengurniakan seorang untuk duduk di atas takhtaku. Mataku sendiri melihatnya.’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami