YouVersion Logo
Search Icon

Lukas 21

21
Persembahan seorang balu
1Yesus memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan. 2Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga. 3Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain, 4kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.”
Robohnya Bait Suci
5Beberapa orang berkata-kata tentang Bait Suci yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah. 6Yesus pun berkata, “Akan tiba masanya semua yang kamu lihat di sini tiada seketul batu pun akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.”
Kesusahan dan penganiayaan
7Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah hal-hal ini akan terjadi? Apakah tandanya hal-hal itu akan terjadi?”
8Yesus berkata, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia,’ dan ‘Masanya sudah tiba.’ Janganlah kamu ikut mereka. 9Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu gentar. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi waktu akhir zaman tidak akan berlaku dengan segera.”
10Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan; 11gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di merata-rata. Perkara-perkara dahsyat dan tanda-tanda yang hebat akan kelihatan di langit. 12Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah#21:12 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat Yahudi. dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja dan pemerintah kerana nama-Ku. 13Inilah peluang bagimu untuk memberikan kesaksian. 14#Luk 12:11,12.Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri 15kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu. 16Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu 17dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku. 18Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang. 19Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan nyawamu.”
Yesus memperkatakan keruntuhan Yerusalem
20“Apabila kamu melihat kota Yerusalem terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir. 21Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu. 22#Hos 9:7.Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi. 23Malanglah ibu yang mengandung dan ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini. 24Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Yerusalem akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.”
Kedatangan Anak Manusia
25 # Yes 13:10; Yeh 32:7; Yl 2:31; Why 6:12,13. “Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan. 26Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Kuasa-kuasa di langit akan digoncang. 27#Dan 7:13; Why 1:7.Lalu mereka akan melihat Anak Manusia datang dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.”
29Yesus menceritakan suatu ibarat kepada mereka: “Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! 30Apabila pokok itu mengeluarkan tunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. 31Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.
32Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. 33Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.”
Perlunya berjaga-jaga
34“Berjaga-jagalah agar hatimu tidak dibeban dengan kesia-siaan dan kemabukan serta soal-soal hal hidup sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka. 35Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. 36Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Anak Manusia.”
37 # Luk 19:47. Pada siang hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun. 38Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke Bait Suci untuk mendengar Dia.

Currently Selected:

Lukas 21: AVB

Tõsta esile

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in